blog how to, blog trick, blog tips, tutorial blog, blog hack

Tuesday, August 18, 2009

Sampai Memikul Bangkai Sentimen Perkauman Dan Keagamaan?

Oleh M JUSOFF TAIB
NAIB PRESIDEN RMC


PERMAINAN politik dengan menimbulkan konflik melalui isu yang boleh menyalakan api sentimen, adalah mudah. Kemudian dipergunakan untuk masing-masing pihak berkepentingan politik untuk berlakon dalam kemarakan api sentimen itu.


Bukankah isu penghinaan terhadap agama merupakan petrol yang mudah membakar. Pekikan emosi bahawa agama Islam sedang dihina dan pembelaan harus dilakukan dengan tegas, begitu mudah untuk politik memperalatkan konflik demi memperoleh keuntungan singkat politik.


Yang jelas, rakyat yang sentimental dan hilang kewarasan, dibakar oleh nafsu jihad membabi-buta yang sebenarnya bukanlah kewiraan membela Islam. Rakyat yang sentimental terhadap Islam, akan berada di pucuk api kemarahan. Dan marah itu bukan beroleh pahala dari Allah. Hanya politik yang memperalatkannya memperolehi ‘pahala politik’ mereka.


Bayangkan jika saya berada di pihak Teoh Beng Hock, yang mati pelik jatuh dari pejabat SPRM , ketika trajidi itu amat memilukan, tiba-tiba ada orang mempertikaikan tentang anak yang dikandung tunangnya. Apakah cara begitu bijak dan islami ?


Apa jenis kebenaran dan apa jenis dakwah yang ingin kita nampaikan ketika kita begitu bersemangat mengungkit hal itu ? Sepatutnya muslim bercakap tentang keadilan dan kebenaran wajib ditegakkan dengan pasti untuk Teoh Beng Hock. Dan itu jelas keislamannya. Dan itu sebenar-benarnya kita menyampaikan dakwah Rasulullah saw kepada saudara setanahair kita.


Lalu, ketika seorang muslim menyentuh hal hubungan Teoh Beng Hock dengan tunangnya dan bayi yang bakal dilahirkan, menghubungkannya dengan perbuatan maksiat, yang salah tempat dan suasana, sudah tentu pihak yang sedih, sayu dan sendu atas trajidi itu akan merasa amat tertusuk.


Dalam keadaan begitu, sentimen pantulan akan muncul. Maka itu dianggap agitasi. berbalas agitasi. Dan sudah menjadi tabiat politik, ia tidak dinegosiasikan. Apa lagi untuk mencapai solusi. Ini kerana sentimen perkauman atau keagamaan sangat menguntungkan untuk menjana pengaruh politik. Sifat politikkepentingan bagaikan parasit.


Mungkin ada di kalangan umat Islam memberi alasan, kita menegakkan kebenaran. Menegak kebenaran pada keadaan yang salah, pada tempat yang tidak munasabah, sama seperti menghancurkan kebenaran. Malah lebih mengecewakan, ia mungkin menghilangkan peluang untuk kebenaran itu tegak dalam waktu yang sepatutnya. Ia akan menjelmakan trajidi kepada kebenaran itu sendiri.


Demikian juga soal arak di Selangor. Kita melihat promosi konflik di antara ‘nahyu munkar’ dengan kepentingan pasar bebas dalam dunia liberal. Umat Islam tidak hidup di sebalik tembok gheto dari pasar bebas dasar liberal Malaysia. Ada undang-undang menghadkan menjual dan meminum arak. Namun ada nafsu tak terhad untuk menjelmakan para pemabuk !


Dan politik membela pasar bebas lagi liberal juga, bukan berada di ruang bumi yang bebas dari sentimen keagamaan. Mahu tidak mahu dua kepentingan politik dalam satu pakatan, harus melakukan negosiasi yang menghasikan solusi bijak. Supaya tidak berlaku seolah-olah rekaan drama pendek bermula dengan ‘hook’ tegangan untuk diselesaikan dengan sekeping foto berita berpeluk bahu dan senyum politik !


Adakah tokoh-tokoh politik yang terlibat sama-sama bingung sehingga mempromosikan api perkauman dan menunjukkan ‘kewiraan’ demi pengikut masing-masing tanpa perhitungan waras. Di sini letaknya, apabila kita menyalah-guna kebijaksanaa demi politik, kebijaksanaa demi politik keharmonian semakin lupus !


Demikian juga di Pulau Pinang. Ketika seorang tokoh DAP dalam Kerajaan PR menuduh rakan sesama dalam kerajaan negeri itu dari PKR sebagai pelampau agama.Dan melibatkan juga pertubuhan si rakan itu. Apakah itu menayangkan rasional politik pembawa perubahan ?


Maka isu sebegitu juga melibatkan sentimen keagamaan yang mencelarukan. Walhal itu sekadar sensasi yang berlebihan yang menunjukkan seorang watak politik yang hilang kawalan rasionalnya, hingga dihuduhkan oleh lakon emosional.


Rakyat sudah tentu tidak mahukan citra politik pembawa perubahan itu memiliki gelagat mudah melatah dan menayangkan lakon tanpa skrip asal dan menjanjikan ‘kacau-bilau’ pakatan, yang senang bercakar dan sulit membina kata sepakat. Apakah gambaran yang hendak diberikan kepada rakyat adalah citra politik Pakatan Rakyat adalah ‘bersepakat’ untuk ‘tidak bersepakat’ ?


Saya meneliti sebuah akhbar arus perdana. Bagaimana gencar dan hebatnya mempermainkan isu mempromosikan sentimen kemelayuan dan keislaman. Apakah ini memberikan pulangan keuntungan kepada Negara ?


Ataukah mereka sanggup membebankan Negara dengan membekalkan modal melalui konflik perkauman dan keagamaan rakyat untuk secebis harapan menjana kepulihan pengaruh sebuah parti politik yang mereka sedang cuba selamatkan ?


Apabila matalamat politik berada di hujung telunjuk nafsu kepentingan kekuasaan demi selain dari kepentingan Negara dan bangsa, mengapi-apikan sentimen rakyat dinilai amat berharga. Jika isu-isu kecil pun, harus diperbesarkan hingga kalau boleh bagaikan api Namrud membakar Ibrahim demi matalamat politik kepentingan kuasa.


Amatlah pedih jika rakyat Malaysia bagaikan ikan di kolam memancing, hanya dipelihara pada lokasi rekreasi untuk memakan umpan ‘pemain mata pancing’ sekadar memberi kepuasan diri kepada pemain politik menjana kepentingan sendiri.


Politik Malaysia terhalang dari menuju perubahan disebabkan oleh sentimen perkauman dan keagamaan. Umat Islam negara ini harus ingat, sentimen keislaman di luar rasional atau akliah itulah yang menyebabkan Turki hilang ‘khalifah’ dan hilang upaya siasah islamiyahnya.


Dosa Ataturk hanyalah ‘dosa tambahan’ kepada penyakit “Islam sentimental’ rakyat dan ulama kerajaan kesultanan Turki , yang keislaman mereka menentang hukum alam dalam istilah falsafah Yunani “pantarei” –perubahan. Anda bukan mengubah Islam, anda diharapkan berfikir untuk menyedari perubahan tempat dan peredaran Zaman yang dicipta oleh pemilik Islam – Allah !


Sentimen Islam yang buta akal, akan menjadikan umat Islam amat sempurna dalam sejarah. Tapi tidak pernah melakukan sejarah ! Mereka boleh berperang 6000 tahun lagi di wilayah-wilayah mereka seumpama di Afghanistan, tapi di kala mereka memenangi jihad, mereka gagal mengurus Islam di bumi mereka. Tak ada trajidi yang lebih dari ini.


Kita tidak perlu berperang sabil dengan golok dan parang demi cita murni keislaman kita. Namun melengkapkan diri kita dengan nafsu, akal dan rohani yang terbaik untuk semua memperolehi kebaikan Islam dari kita.

0 comments:

Post a Comment

 
Powered By Blogger

Ruang iklan untuk disewa RM10/bln

Powered By Blogger

© Black Newspaper Copyright by RAKYAT MEDIA CLUB | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks