blog how to, blog trick, blog tips, tutorial blog, blog hack

Monday, August 17, 2009

Antara Khianat Dan Salakan 'Pengkhianat'

oleh M Jusoff Taib
Naib Presiden RMC

Setelah memuji Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan idea kerajaan perpaduan tidak menjadi umpan menyelerakan, dan isu itu menjadi letih dan lesu untuk memberi advantage kepada Umno, maka sekarang adalah salakan "pengkhianat" terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dianggap kepala lokomotif politik Pakatan Rakyat. Tetapi rakyat sudah tentu ingin bertanya, apakah tuduhan pengkhianat itu boleh dibuktikan dengan secara adil dan telus. Bolehkah Anwar dibawa ke pengadilan sebagai 'Pengkhianat' terhadap bangsa dan negara?

Jika sekiranya Anwar berada di alam Umno, tentu segala orang Umno boleh menuduh Anwar sebagai pengkhianat kepada Umno. Tetapi kini Anwar dipilih rakyat secara sah untuk menentang Umno dan BN.

Adakah Perlembagaan negara memperuntukan setiap parti politik dan juga pakatan politik yang menentang Umno dan BN, dan bertekad menggugurkannya daripada mengurus Malaysia, boleh dinamakan pengkhianat?

Dan jika sekiranya cop 'Pengkhianat' itu adalah tanggapan negatif Umno terhadap PKR, ia tidak bersabit dengan negara. Ia bersabit dengan Umno yang ingin terus menakluki negara ke bawah pengurusannya. Maka ini hanyalah memenuhi retorik Umno bahawa ia adalah parti yang memiliki negara "dahulu, kini dan selamanya".

Tetapi bukanlah satu 'pengkhianatan pula apabila parti politik menganggap ia adalah organisasi yang selama-lamanya wajib diberi hak mutlak menguasai dan menuntut hak ketuanan ke atas rakyat?.

Kuasa mengurus negara yang disahkan secara diberi mandat oleh rakyat melalui demokrasi selama satu penggal lima tahun, tidak memiliki hak 'ketuanan politik' terhadap negara. Ia kuasa bersandar kepada hak rakyat, dan tidak ada hak menuduh penentangan sebagai pengkhianat.

Umno tidak berhak berlagak sebagai pendakwa, hakim, mahkamah dan hak menjatuhkan hukum terhadap mana-mana pemimpin di luar organisasinya sebagai pengkhianat bangsa ataupun negara. Kerana ia sekadar memberikan alternatif politik yang kuat kepada rakyat.

Kecuali jika sekiranya pemimpin Umno merasakan parti melayu mereka itu terancam hayatnya tanpa disinonimkan dengan kekuasaan negara. Akan lupus dan mati. Maka ia memerlukan sejenis cop pengakuan retorik 'Ketuanan Melayu'.

Dan apabila begitu, sesiapa yang mencabarnya dan bertekad memencilkannya dari tampuk kuasa negara, maka orang itu boleh dituduh pengkhianat. Tetapi ini juga keliru, kerana Umno hanya melibatkan tiga juta ahli Melayu mengikut sumber Umno sendiri.

Bagaimana perakuan Melayu yang ada dalam PAS dan juga dalam PKR?

Apakah mereka bukan lagi Melayu tulin kerana tidak mendokong Umno dan BN?

Lalu, relevankah Umno menuduh Ketua Umum PKR yang mentor PR itu sebagai 'Pengkhianat'? Umno tiada kena mngena dengan ketuanan Melayu. Ketika Umno merundingkan jalan menuju arah kemerdekaan Malaya dahulu, dasarnya adalah kerjasama dengan tokoh MCA.

Permainan politik Umno selanjutnya selepas itu, menjadikan retorik ketuanan Melayu itu telah pun pudar dalam acara politik kontrak sosial yang memang diakui Umno sendiri.

Ketika Raja-Raja Melayu diletakkan di bawah Perlembagaan, maka Raja-Raja Melayu juga harus tunduk kepada Perlembagaan. Maka apa-apa yang ada di dalam Perlembagaan, cuma itulah yang perlu diarifi dan dipertahankan oleh orang Melayu.

Apabila ada hak sama taraf kerakyatan pelbagai kaum di dalam hak politik mereka di Malaysia ini, maka Raja juga bukanlah Raja Melayu untuk melambangkan kemelayuannya semata. Malah Raja melambangkan keadilan kepada seluruh rakyat. Itu barulah muncul pengertian kedaulatan Raja yang berada di bawah Perlembagaan.

Maka tidaklah kena kita mengheret Raja Melayu untuk kepentingan politik sehingga kedaulatan Raja di atas suatu kaum atau sebahagian dari kebangsaan dan dijadikan alat perkauman. Ini cuba mengkhianati kedaulatan Raja Melayu.

Kerana Raja yang berdaulat dalam sebuah negara merdeka, tidak boleh diisytiharkan hanya sebagai Raja satu kaum dalam negara yang dipersetujui sebagai negara kepelbagaian kaum segi kerakyatannya.

Raja berpelmbagaan bermakna Raja berada dalam agenda negara berdemokrasi. Maka segala aturan permainan politik di bawah daulat Raja berpelembagaan, semestinya tidak terkeluar dari garis atau apa yang dihadkan oleh Perlembagaan.

Kecualilah rampasan kuasa berlaku dalam pengisytiharan darurat diadakan yang memerlukan perakuan Raja. Namun itu meletakkan negara ini menjadi hodoh sebagai pengamalan politik tirani. Hodoh dari segi kemodenan dan hodoh dari segi umat yang memartabatkan Islam.

Adakah Umno itu tulin menjiwai Perlembagaan negara itu? Ataukah selama ini, dalam keadaan kuasa Umno tidak tercabar, ia telah menjadikan jiwa Pelembagaan negara hilang upaya oleh kepentingan kekuasaan politiknya?

Asas kebangsaan Tanah Melayu adalah berdasarkan kemelayuan. Itu tidak dapat dinafikan oleh sesiapapun. Tetapi setelah lahir Perlembagaan Malaysia, apakah di sana termaktub Ketuanan Melayu. Adkah politik dijamin hak kemutlakan politik Melayu.?

Malah dalam Perlembagaan Malaysia tidak mengisytiharkan kebangsaan Melayu sebagai mutlak, kecuali hak-hak keistimewaan Bumiputera. Yang merupakan hak perlindungan terhadap kelemahan bangsa Melayu.

Malah pengukuhan Bahasa Melayu yang termaktub didalam perlembagaan pun nampaknya akan dipergadaikan ke arus globalisasi ekonomi. Dalam politik bahasa, tokoh Umno seolah-olah ingin menjadikan rakyat Malaysia sebagai warga global tanpa pengukuhan kebangsaannya - Melayu.

Malah kejatian kebudayaan Melayu kita juga hanya dihidupkan dalam pasar terbuka Malaysia dikeranakan kepentingan promosi perlancongan sebagai aset ekonomi. Sedangkan generasi muda Melayu sedang hanyut ke dalam arus liberal yang menghilangkan corak jatidiri.

Dan ia memberi beban kemusnahan moral kepada generasi muda kita.

Selain dari itu, yang ada dalam Perlembagaan ialah Islam sebagai agama rasmi Malaysia. kita tahu Islam bukan idealogi kebangsaan. Ia agama Allah. Allah tidak memandang Melayu, tetapi memandang siapa yang taqwa. Jika ketaqwaan orang Melayu rendah, dan tahap ketaqwaan orang Cina Muslim atau India Muslim lebih berdarjat, maka Allah akan memberikan ketuanan itu kepada mereka. Ini janji Allah. Bukan janji PAS!!.

Oleh itu, kenalah orang Melayu sedar untuk meningkatkan ketaqwaan mereka supaya layak diamanahkan kepimpinan. Dalam Islam tidak ada kepimpinan atas nama 'ketuanan'. Memimpin adalah amanah yang semestinya terbuka dan telus sifatnya.

Telah lebih setengah abad Umno memegang amanah politik orang Melayu. Maka jika Umno sendiri berasa Melayu masih tergugat, apakah yang tidak memegang amanahkah yang patut ditempelak sebagai 'pengkhianat', ataukah oleh tokoh yang layak membela Melayu di tampuk kuasa selama lebih 50 tahun.

Jangan ketika ada tokoh lain yang terkeluar dari Umno yang berupaya memberi alternatif lain dalam kehendak-kehendak perubahan politik negara, maka dia dituduh sebagai 'pengkhianat'. Sedangkan kegagalan Melayu semenjak negara merdeka tertuding tanggungjawab ke atas kuasa politik orang Melayu, iatu Umno.

Sikap menyalahkan orang lain dan menuduh orang lain sebagai topeng kegagalan diri, merupakan budaya politik pengecut dan politik hilang upaya untuk berubah dan menjana jatidiri politik. dan itu tandanya kekuatan dan keampuhannya semakin hilang.

Kalau begitu, tuduhan 'pengkhianat' kepada Anwar tidak lebih sebagai agenda permainan politik. dan itu juga mempermainkan rakyat. Dan berkemungkinan rakyat juga mersa dirinya diperbodoh-bodohkan.

* artikel ini juga boleh dibaca di akhbar Siasah dan penulis M Jusoff Taib adalah Naib Presiden Rakyat Media Club

0 comments:

Post a Comment

 
Powered By Blogger

Ruang iklan untuk disewa RM10/bln

Powered By Blogger

© Black Newspaper Copyright by RAKYAT MEDIA CLUB | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks