blog how to, blog trick, blog tips, tutorial blog, blog hack

Monday, December 28, 2009

LUPAKAN TERUS UTUSAN

Oleh HASMI HASHIM
http://perakexpress.com

Pembodohan, persendaan dan kebiadaban akhbar Utusan tak pernah berlaku sebegini buruk, meskipun selepas lebih 10 tahun.

Lihat sahaja misalnya Utusan yang seolah-olah jadi tok dalang utama untuk memecah-belahkan parti-parti dan pemimpin dalam Pakatan Rakyat, membakar sentimen perkauman bahkan langsung tidak mahu menuliskan perkataan “Pakatan Rakyat”. Mereka tulis hanya sebagai “pakatan pembangkang”.

Kepala-kepala editor di media itu masih tak belajar dan menginsafi bahawa orang Melayu sendiri sudah berubah. Mereka cuba menentang kenyataan bagaimana pembaca pernah menolak dengan begitu kuat akhbar tersebut pada period awal Reformasi dahulu sehingga jualannya merosot teruk.

Waktu itu, pekerja di pejabat kerajaan sekalipun tak mahu membeli dan membaca. Sesiapa yang memegang di tangan, akan terasa dan dipandang jelek kerana menyokong puak pemfitnah. Jualan Utusan Mingguan dikhabarkan jatuh teruk daripada lebih 500 ribu pada setiap Ahad (sebelum 1998), menjadi kurang separuh iaitu sekitar 250 ke 300 ribu sahaja selepas itu.

Laporan Biro Audit Pengedaran (ABC) yang terkini juga menunjukkan bagaimana edaran Utusan Malaysia merosot sehingga 8 peratus kepada sekitar 181 ribu naskhah, sementara Berita Harian pula turun 5 peratus kepada sekitar 183 ribu naskhah. Edarannya semakin parah berbanding audit dari tahun 2005 ke 2006 yang masing-masing mencatat edaran sekitar 213 ribu dan 203 ribu sehari.

Corak penolakkan (khususnya orang Melayu) terhadap dua media propaganda utama Umno-BN ini tetap kuat dan prestasi kedua akhbar tersebut nampaknya sukar untuk pulih berbanding sebelum 1998.

Namun begitu, jumlah kehilangan pendapatan hasil kemerosotan jualan itu ‘ditampal’ pula oleh akhbar tabloid terbitan syarikat yang sama. Edaran Kosmo! naik sebanyak 12 peratus kepada sekitar 129 ribu naskhah, manakala Harian Metro naik 4 peratus kepada sekitar 338 ribu naskhah.

Kurangnya mainan propaganda yang mengongkong minda tidak pula bermakna rakyat digalakkan membeli akhbar yang penuh dengan sampah sensasi. Ternyata ada kekosongan luas di mana pembaca mahukan sesuatu yang lebih bermakna sebagai ‘panduan’ dan sumber berita mereka yang lebih seimbang.

Oleh itu, akhbar milik Pakatan Rakyat harus segera mengambil peranan lebih besar. Tak cukup seperti lembaran surat khabar lama, dengan paras wajah (lay-out, grafik dan foto) serta gubalan kandungan masih seperti dulu-dulu juga. Ia harus lebih muda, lebih segar.

Dalam kata lain, akhbar-akhbar hubungan Pakatan harus siap untuk benar-benar ‘memimpin’ dan mempertajam pandangan rakyat. Berita harus lebih luas, termasuk kepada bidang yang sebelum ini tidak menjadi keutamaan untuk dilapor atau dijadikan kandungan.

Realiti masalah rakyat di bawah seperti kes jenayah, kebakaran, kemalangan dan banyak lagi perlu mulai menjadi laporan bentuk baru bagi akhbar-akhbar Pakatan yang sebelum ini hanya dilihat sebagai ‘akhbar politik’. Begitu juga segmen sosial lain termasuk seni-budaya, hiburan, sukan, bahkan laporan ekonomi yang lebih berwibawa perlu dijadikan keutamaan selain kekal dengan ulasan, wawancara dan berita politik atas keperluan perjuangan.

Beberapa contoh akhbar luar negara, yang walaupun milik parti politik, misalnya The Guardian di UK menjadi akhbar nasional dan bukan lagi hanya dibaca oleh penyokong Parti Buruh sahaja.

Saya pernah menyebutkan hal ini, lebih-lebih lagi sejurus Anwar Ibrahim bebas 5 tahun lalu di mana segera saya yakin bahawa lanskap politik Malaysia akan segera berubah sejak itu. Saya kira, ramalan tersebut ada benarnya.

Harus diingat, Pakatan kini ’separuh memerintah’ dan bukan sepenuhnya pembangkang seperti dahulu.

Saya faham bahawa perubahan sedemikian hanya bisa dilaksanakan dengan persetujuan pimpinan parti, dan tidak cukup diperingkat editorial sahaja. Kerana itulah, pimpinan wajar menginsafi bahawa perubahan yang perlu ini tidak lain adalah formula untuk memenangi hati rakyat keseluruhannya, dan bukan hanya untuk kekal dengan pasaran kalangan ahli dan penyokong tegar sesama sendiri.

Maka hanya dengan itu, kemenangan lebih besar mampu kita capai apabila media kita sudah benar-benar hidup dalam denyut nadi rakyat.

Kita perlu terus lupakan media perdana yang keterlaluan sepertimana yang ada hari ini. Mahu tak mahu, perniagaan mereka tetap bergantung kepada kuasa beli rakyat. Kalau rakyat tolak untuk membeli, maka nasib akhbar itu kini di tebing liang lahad… menunggu masa untuk dikebumikan. Mungkin kita perlu lancarkan sekali lagi kempen besar-besaran untuk itu.

Empayar yang lebih besar pun bisa tumbang, inikan pula sesebuah syarikat media. Setiap kehancuran itu hendaknya jadi pengajaran kepada anak cucu kita agar jangan keterlaluan terus-terusan angkuh dan sanggup memperbodoh bangsa sendiri.


0 comments:

Post a Comment

 
Powered By Blogger

Ruang iklan untuk disewa RM10/bln

Powered By Blogger

© Black Newspaper Copyright by RAKYAT MEDIA CLUB | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks