blog how to, blog trick, blog tips, tutorial blog, blog hack

Gambar Mansuh ISA

NAMA ALLAH YANG EKSKLUSIF DAN INKLUSIF

Monday, January 4, 2010
M Jusoff Taib

MEMANG patut sangat Lujnah Politik PAS bermesyuarat berkenaan isu penggunaan nama Allah oleh pihak agama Kristian.

Sekelian pemimpin PAS termasuk sekelian jema’ahnya seharusnya bersuara dengan satu suara dalam apa jua isu apakala bercakap sebagai jurucakap mewakili PAS.

Nampaknya ada yang terkejut apabila membaca berita tentang pandangan YB Khalid Samad yang berpandangan bahawa nama Allah bukan eksklusif milik Islam.

Tapi saya tidak terkejut. Ini disebabkan agama Islam bukan agama yang mengajar penganutnya seperti kepercayaan Yahudi, yang mana Tuhan mereka merupakan kuasa maha tinggi yang eksklusif bagi bangsa Yahudi.


Allah dalam pandangan umat Islam adalah Yang Maha Esa, Maha Perkasa lagi Maha Pengasih-Penyayang untuk sekelian manusia dan sekelian alam sebegaimana terkandung dalam bacaan Al-Fatihah.

Konsep ketuhanan yang terkandung dalam perkataan Allah sebagai nama Tuhan Maha Esa yang khas yang merupakan nama Al-Jalalah Tuhan Rabbul ‘alamin itu, diberi makna jelas sekali oleh wahyu Allah dalam Surah Al-Ikhlas:

“Katakanlah: Allah Esa. Allah tumpuan seluruh makhluk. Tidak berputera, tidak diputrakan. Tidak meyerupai dan tidak layak disetarafkan dengan apa-apapun.”

Dalam konsep Islam, memang Allah dan agamanya bukan eksklusif bagi penganut Islam, malah agama diperuntukkan untuk semua manusia di alam ini. Umat Islam sentiasa mengharapkan seluruh umat manusia ini bersatu-padu melalui Islam sebagai agama benar dari Allah.

Setiap muslim, tanpa lelah dan putus asa, terus menjadi pendakwah untuk menyampaikan ajakan (dakwah) kepada seluruh saudara sekemanusiaan supaya insaf bahawa Allah itu ada dalam hati nurani setiap insan secara fitrah.

Tapi itu dari pandangan penganut Islam. Namun dari sudut lain, mengubah perkataan ‘God’ dalam Kitab Bible kepada “Allah” untuk menjadikan bacaan bagi umat Malaysia, adalah sangat keliru dan tidak beralasan dari pihak Kristian.

Kecualilah jika sekiranya akidah Kristian yang menjadikan Nabi Isa a.s. sebagai putera Allah itu diralatkan dan menepati akidah Tauhid Islam.

Lagi pula, alasan untuk menterjemahkan ‘God’ dengan ‘Allah’ tidak berdasarkan hujah kebenaran berdasarkan asal-usul Kitab Bible itu sendiri. Bible adalah berasal dari terjemahan bahasa Yunani.

Menurut sebuah buku yang sangat bernilai bagi memahami agama Kristian dan Kitab Suci mereka, iaitu buku berjodol Muhammad in Bible oleh Prof. Abdul Ahad Dawud sangatlah berharga.

Prof. Abdul Ahad Dawud adalah asalnya seorang pendeta besar bernama David Benjamin Kaldani. Merupakan seorang guru besar theologi merangkap bekas Pastor Katholik Roma untuk wilayah Kaldan.

Dalam buku itu ada menegaskan: “Dalam sejarah disebutkan bahawa naskah tertua dari injil-injil itu berasal dari sekitar tahun 175 sampai 200 setelah wafat Isa al-Masih.”

Walau pun Bible itu, bagi umat Islam, tidak lagi boleh dianggap asli seperti mana Al-Quran. Namun dalam Bible yang ada sekarang, masih terdapat gambaran kemurnian kepercayaan Nabi Isa sebagai Nabi Allah. Seperti terdapat dalam Bible 12:29 dimana Isa a.s. menuturkan Tuhan yang disembah adalah Tuhan Yang Esa.

Perkataan ‘God’ tidaklah sempurna untuk diterjemahkan kepada ‘Allah’. God adalah berasal dari bahasa yang digunakan oleh anglo-saxon dan Teuton untuk menamakan sesembahan mereka.

Tidak seperti perkataan Allah, God boleh berubah atau diubah. God boleh ditambah ‘s’ (gods) untuk menjadi ‘tuhan-tuhan’. Boleh dijadikan perempuan dengan ditambah ‘dess’ (goddess). Boleh menjadi tuhan-tuhan kecil kalau ditambah ‘ling’ menjadi godling. (Ahmad Dedat, 1994).

Serupa juga jika nama Allah diterjemahkan sebagai Tuhan dalam bahasa Melayu. Ia tidak menepati. Begitu juga kalau dalam bahasa jawa tidak boleh digantikan Allah dengan ‘Hyang’, malah terpaksa pula ditambah menjadi ‘Sang Hyang Tunggal’ yang menepati Tuhan Yang Maha Esa.

Perkataan Allah pengertiannya amat jelas dalam Al-Quran. Dan tidak keliru. Allah difahami oleh penganut Islam sebagai nama Zat, yang tidak boleh dipecah dan dibahagi. Tidak ada pecahan kata jamak (plural) bagi perkataan Allah.
Read Full 0 comments

KITA SEDANG MEMBANGUN SATU MALAYSIA BARU

Friday, January 1, 2010
M Jusoff Taib

TANGGAL 19 Disember, 2009 merupakan merupakan satu peristiwa bersejarah. Detik pemula masa depan demokrasi Malaysia. Tidak ayal lagi betapa pentingnya gerakan rakyat jelata Malaysia mengampu penyempuraan demokrasi Malaysia melalui pilihan raya ke-12 Mac, 2008. Ia telah melahirkan kekuatan imbang terhadap kekuasaan. Ini bererti rakyat telah memperolehi pengukuhan ke atas hak-hak mereka.

Suatu yang menarik adalah peranan PAS mahu pun DAP dalam hal menjayakan suatu komponen tandingan kepada BN dengan merealisasikan PR. Ia benar-benar menepati pepatah politik, “tiada yang mustahil dalam politik.” Tanpa komimen tinggi kedua-dua parti politik ini, Konvensyen Pakatan Rakyat yang jaya itu, akan menjadi mustahil.

Kita tahu DAP adalah sebuah parti sekular yang memperjuangkan satu bangsa Malaysia. Seperti mana-mana parti politik, politik DAP sebenarnya tertakluk kepada perlembagaan Malaysia. Idealisme DAP adalah mencapai negara bangsa yang sempurna dalam kemajmukan rakyat Malaysia.


Dari segi idealisme politik, PAS tidak ada berkonflik apa-apa dengan idealisme DAP, kecuali ia sebuah parti politik yang berlandaskan agama – Islam. PAS bagi saya bukan sebuah parti berteraskan ideologi, tetapi berteraskan dogma suci Islam: wahyu/al-Quran.

Untuk mendakwa PAS sebagai parti ideologi, ia keliru. Ini kerana Islam bukan ciptaan manusia, tetapi wayhu Allah. PAS dari masa ke masa, bebas dalam ruang fikrahnya berdasarkan syura dan pengesahan para ulamanya mentafsir dan menggubalkan fikrah berdasarkan wahyu untuk menjana kekuatan Islam dan umat dalam politik Malaysia.

Sebuah ideologi dicipta melalui akal fikiran. Ia suatu falsafah yang diidealkan menjadi tonggak akidah perjuangan. Hal ini tidak mungkin berlaku kepada mana-mana pergerakan politik Islam. Kerana Islam pada hakikatnya agama yang berlandaskan asas mutlak kebenaran daripada Allah.

Oleh itu, ia sentiasa terbuka kepada akal untuk memikirkan pendekaran-pendekatan politik bagi menjayakan kebenaran Allah. Atau menjayakan pencapaian yang dikira lebih tepat dan bijaksana. Dalam laluan begini, insya Allah, PAS tetap akan bertenaga merenangi segala zaman dan segala keadaan yang memerlukan ia menyesuaikan diri dengan segala keupayaan ijtihad yang luas.

Sebab itu, pergerakan Islam tidak akan mati selagi ia tidak mengalih daripada berpegang kepada wahyu secara luas. Tidak menjumudkan diri kepada satu-satu falsafah berdasarkan Islam secara ketaatan taksub. Lagi pula Islam tidak membenarkan pemujaan akal melangkau keabadian dan kesucian wahyu.

Suatu ideologi buatan manusia akan tidak mampu menerokai zaman, seperti berlaku kepada sosialisme dan komunisme. Atau semua ideologi berdasarkan pemikiran yang berkembang pada abad lalu, kini telah dimusnahkan masa. Malah ada dikatakan, memasuki abad ke-21 ini, ideologi telah mati.

Sejak tercetusnya perjuangan reformasi yang menjadikan Anwar Ibrahim sebagai idola, dan para pemimpin parti-parti alternatif bersebulat menjana semangat rakyat, dan terjadinya kemesraan antara DAP dan PAS, ada sesuatu yang selama ini disalah fahami berkenaan politik Islam yang telah diperbetulkan.

Pemimpin-pemimpin DAP dapat memahami apa itu inti politik Islam. Selain berpegang teguh kepada akidah agama, Islam sebagai gerakan politik memfardhukan ke atas dirinya hak-hak keadilan bagi rakyat dan hak-hak kesolehan kepimpinan dalam hubungan dengan hak-hak rakyat. Ini tidak terbatas. Hak-hak perjuangan Islam ini melangkau anutan agama dan bangsa. Dalam Islam hak-hak kemanusiaan adalah luas.

Ini adalah asasi politik Islam. Malah jika kita selidiki secara halus, pergerakan politik yang berlunaskan Islam terpaksa memikul beban menegakkan keadilan dan menentang kezaliman tanpa mengira bulu. Dan kesolehan kepimpinan merupakan sangkut-paut langsung dengan permasalahan iman dan akidah. Inilah unik dan rumitnya tanggungjawab dalam pergerakan politik Islam.

Sebab itu, banyak pelajaran dari pengalaman pergerakan Islam yang mengalami kelumpuhan. Utamanya, hilang pembudayaan kesolehan sosial sebagai pelaksanaan amali yang dimunculkan oleh pergerakan itu. Ini berpunca oleh kerana sempitnya pengertian kesolehan kepimpinan dalam agenda pergerakan Islam itu.

Sedangkan ksolehan kepimpinan yang melahirkan budaya kesolehan sosial secara jama'i dan haraki merupakan satu fardu yang wajib dapat dirasakan takyat. Dan pada zaman yang dinamakan zaman majmuk dan plurarisme ini, Islam dapat dirasakan hanya melalui pelaksanaan komitmen akhlak taqwa, iaitu perluasan kesolehan yang dikenali sebagai kemanusiaan Islami yang luas dan universal.

PAS sudah jelas mulai memancarkan komitmennya dalam hal kesolehan politik dan sosial, walau pun tidak boleh dianggap telah sempurna. Ia harus dikilaukan terus. Malah ucapan dasar presiden pada muktamar lalu, jelas kesolehan Islam PAS merupakan suatu agenda yang menjadi kewajipan untuk disempurnakan secara meluas, termasuk ke dalam agenda seni-budaya.

Ini sahaja yang membolehkan Islam dilihat syumul dan dirasakan syumul. Ertinya, Islam melalui PAS menjelmakan suatu pembudayaan menyeluruh.

Bayangkan, apakah ucapan tokoh DAP seperti yang diucapkan oleh Lim Guang Eng dalam konvensyen Sabtu lalu itu. Apakah hal ini boleh dilakukannya pada masa lalu? Ini semua adalah kerana PAS sendiri telah melangkau tradisi sempit sehingga banyak meruntuhkan kebuntuan Islam sebagai agama yang disalah anggap dan diberi prasangka buruk yang lapuk.

Ia suatu kejayaan besar bagi Islam !
Read Full 0 comments

UCAPAN SELAMAT TAHUN BARU DARI TIM TUKAR TIUB

ANAK MUDA - BERANI BERJUANG BERANI MENANG


KOMENTAR DARI TIM TUKAR TIUB

Kita telah meninggalkan 2009. Tahun 2010 ini adalah tahun yang akan membawa kemelut dan krisis ekonomi runcing bukan sahaja untuk negara kita malah untuk semua negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.

Sistem ekonomi kapitalis sedang nazak. Pil-pil menahan kesakitan telah diambil untuk meneruskan buat sementara sistem ekonomi yang ganas lagi zalim ini. Bertrilion dolar telah digunakan membeli koyok untuk menampal sistem kapitalis yang sedang sakit.

Hakikatnya - sistem ekonomi kapitalis sedang dibaham barah lebihan produksi - hinggakan tidak ada kimotheraphy yang akan dapat membantu.

Produksi yang berlebihan ini sedang menghambat dan menekan. Barangan yang hasilkan dari kilang dan pabrik kini melambak-lambak. Tekanan demi tekanan – melalu pelbagai pejanjian dan protokol - telah digunakan oleh Bank Dunia, IMF dan WTO terhadap negara-negara dunia ketiga seperti Malaysia.


Kaum pemodal antarabangasa sedang menggunakan Bank Dunia, WTO dan IMF untuk memaksa pasaran dibuka seluas mungkin agar modal dapat merembat bahan bahan mentah dan barangan buatan syarikat multinational dapat dilambakkan ke pasaran negara negara dunia ketiga.

China pendatang baru kelihatan semakin gopoh dan rakus mencari bahan mentah dan membuka pasaran. Lihat disekeliling kita – lambakan produk CCL – cheap chinese labour – sedang mengancam industri tempatan. China yang telah murtad dari sistem sosialis kini telah mula menjadi peniaga senjata. Ini tidak pernah berlaku ketika China mengamalkan sistem ekonomi sosialis.

Semua ini membawa tanda-tanda bahaya kepada umat dunia.

Kuasa imperial Anglo-Amerika – musuh rakyat sedunia – sedang menjalankan perang di Iraq dan Afghanistan. Perang kolonial ini bertujuan untuk merampok semua telaga minyak dan gas di kawasan timur tengah.

Dalam masa yang sama bahan bakar petrol semakin berkurangan. Satu demi satu negara pengekspot minyak kini menjadi negara pengimpot minyak. Minyak di Malaysia sendiri kian merosot dan pada tahun 2014/16 kemungkinan minyak akan mula kering di telaga-telaga minyak kita. Keadaan ini akan menghambat United Malays National Organistaion.

Dalam masa yang sama perebutan kuasa untuk mengawal agihan kontrek dan punca punca dana semakin sengit. Ekonomi yang merundum ini akan menjadikan punca-punca dana berkurangan dan sempit.

Dua garis politik – garis Najib dan garis Muhyiddin – semakin jelas dapat dilihat. Dalam masa yang sama anak anak syarikat gerombolan seperti PPP, MCA, MIC dan Gerakan – sedang beramuk dan bercakaran sesama sendiri.

Semua ini adalah tanda-tanda bahaya untuk warga Malaysia.

Bahang api perkauman akan terus ditiupkan untuk memastikan kuasa yang ada ditangan United Malays National Organistion akan terus kekal.

Tahun 2010 ini adalah tahun susah. Harga barangan dan kos sara hidup akan meninggi. Ini tidak setampil dengan tangga gaji dan upah harga memburuh. Anak anak muda akan mula memasuki pasaran buruh dan mereka akan berhadapan dengan hakikat bahawa peluang kerja semakin berkurangan.

Ekonomi yang berasaskan tenaga buruh impot yang murah kini sedang memakan diri kita sendiri. Hampir tiga juta buruh murah ini sedang menafikan hak warga untuk menuntut tangga gaji yang lumayan dan berpatutan dengan kos sara hidup. Tidak ada warga Malaysia yang akan sanggup tidur 12 orang dalam satu bilik.

Justeru semua warga Malaysia wajib berwaspada dan jangan terperangkap dengan propaganda perkauman. Juga berwasapada jangan terperangkap dengan agenda keagamaan.

Satu Malaysia wajib bersedia untuk bangun melawan untuk melahirkan sebuah Malaysia untuk anak semua bangsa. (TT)

www.tukartiub.blogspot.com
Read Full 0 comments

Perutusan Tahun Baru 2010 dari Anwar Ibrahim

Kita menyambut kedatangan tahun 2010 dengan penuh harapan, agar keadaan menjadi lebih baik buat diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Tahun yang baru, secara simboliknya, menandakan, satu permulaan kepada yang lebih baik dan berusaha menyingkirkan segala kelemahan dan keburukan. Sudah tentu semua ini tidak bermakna sekiranya kita hanya berpeluk tubuh dan gagal melakukan sesuatu. Pendek kata, iltizam untuk melakukan Perubahan sahaja tidak lah mencukupi, ianya memerlukan satu tindakan yang jitu berasaskan kefahaman terhadap Perubahan yang ingin dilaksanakan. Rakyat sesungguhnya bijak serta berkemampuan untuk membezakan di antara intan dan kaca. Mereka sedar yang manakah program perubahan palsu serta satu agenda Perubahan berhasrat untuk membawa kemaslahatan kepada rakyat. Namun sekiranya kita gagal untuk menunaikan hasrat dan cita-cita baik tersebut untuk dikecapi rakyat, ianya akan kekal sebagai satu laungan kosong semata-semata.


Tahun 2009 menyaksikan Pakatan Rakyat berjaya melahirkan satu dokumen penting yang dikenali sebagai Agenda Bersama Pakatan Rakyat. Kita menyediakan suatu rencana dasar untuk membawa bangsa dan negara keluar dari kemelut yangmencengkam. Dokumen tersebut merupakan penzahiran kepada satu permuafakatan yang bukan otoritarian sifatnya. Ianya adalah permuafakatan berasaskan kepercayaan dan benar-benar jujur untuk membawa Perubahan. Kita akui sebagai satu permuafakatan yang muda, dalam proses pembentukan kepada satu permuafakatan yang lebih utuh, sudah tentu kita berhadapan dengan pelbagai pertanyaan. Ini adalah lumrah, kerana kita menuju kepada yang lebih baik, kita menawarkan satu yang baru buat rakyat dan kita berhasrat mahu sentiasa bersama mereka memastikan kesejahteraan negara ini terjamin.

Alhamdulillah rakyat menyambut baik kehadiran dokumen bersejarah tersebut. Mereka sedar untuk mengembalikan negara ini ke persada negara-negara yang sudah jauh meninggalkan kita seperti Singapura, Taiwan, dan Korea Selatan agenda pembangunan yang selama ini berasaskan perkauman sempit dan hanya membawa keuntungan kepada segelintir yang dekat dengan pemerintah mestilah diketepikan. Kini tibalah waktu untuk kita mendakap satu agenda Perubahan yang terperinci, cermat dan menyegarkan. Pakatan Rakyat menawarkan satu agenda yang seimbang; tidak hanya tertumpu memulihkan kembali ekonomi negara, akan tetapi juga berusaha mengembalikan hala tuju negara ini sebagai satu negara yang berasaskan Demokrasi Raja Berperlembagaan.

Pakatan Rakyat yakin untuk mengemudi negara ini ke taraf negara maju dengan memastikan pertumbuhan ekonomi yang sihat, agenda pembangunan yang adil untuk semua, institusi kehakiman yang bebas dari cengkaman pemerintah dan pembinaan sebuah masyarakat demokratik yang berteraskan kemuliaan insan. Dengan kepercayaan rakyat yang kita perolehi, kita akan menggembeling seluruh tenaga dan keringat untuk memastikannya terlaksana. Keyakinan terhadap semangat rakyat, faith in the power of the spirit of the people, akan menjadi satu lagi sumber kekuatan kita, rakyat Malaysia.

Moga tahun 2010 merupakan tahun yang lebih baik buat semua dan negara ini. Inshaallah kita semua berusaha menjayakannya. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010 kepada semua rakyat Malaysia.

Ubah sebelum parah, ubah demi maruah.

ANWAR IBRAHIM

Read Full 0 comments
Thursday, December 31, 2009



RMC ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2010
kepada seluruh rakyat Malaysia
Semoga demokrasi akan menjadi lebih bermakna kepada rakyat Malaysia

TIDAK ADA DEMOKRASI TANPA KEBEBASAN RAKYAT DAN TIDAK ADA KEBEBASAN RAKYAT TANPA KEBEBASAN MEDIA

Full story
Read Full 0 comments

LUPAKAN TERUS UTUSAN

Monday, December 28, 2009
Oleh HASMI HASHIM
http://perakexpress.com

Pembodohan, persendaan dan kebiadaban akhbar Utusan tak pernah berlaku sebegini buruk, meskipun selepas lebih 10 tahun.

Lihat sahaja misalnya Utusan yang seolah-olah jadi tok dalang utama untuk memecah-belahkan parti-parti dan pemimpin dalam Pakatan Rakyat, membakar sentimen perkauman bahkan langsung tidak mahu menuliskan perkataan “Pakatan Rakyat”. Mereka tulis hanya sebagai “pakatan pembangkang”.

Kepala-kepala editor di media itu masih tak belajar dan menginsafi bahawa orang Melayu sendiri sudah berubah. Mereka cuba menentang kenyataan bagaimana pembaca pernah menolak dengan begitu kuat akhbar tersebut pada period awal Reformasi dahulu sehingga jualannya merosot teruk.

Waktu itu, pekerja di pejabat kerajaan sekalipun tak mahu membeli dan membaca. Sesiapa yang memegang di tangan, akan terasa dan dipandang jelek kerana menyokong puak pemfitnah. Jualan Utusan Mingguan dikhabarkan jatuh teruk daripada lebih 500 ribu pada setiap Ahad (sebelum 1998), menjadi kurang separuh iaitu sekitar 250 ke 300 ribu sahaja selepas itu.

Laporan Biro Audit Pengedaran (ABC) yang terkini juga menunjukkan bagaimana edaran Utusan Malaysia merosot sehingga 8 peratus kepada sekitar 181 ribu naskhah, sementara Berita Harian pula turun 5 peratus kepada sekitar 183 ribu naskhah. Edarannya semakin parah berbanding audit dari tahun 2005 ke 2006 yang masing-masing mencatat edaran sekitar 213 ribu dan 203 ribu sehari.

Corak penolakkan (khususnya orang Melayu) terhadap dua media propaganda utama Umno-BN ini tetap kuat dan prestasi kedua akhbar tersebut nampaknya sukar untuk pulih berbanding sebelum 1998.

Namun begitu, jumlah kehilangan pendapatan hasil kemerosotan jualan itu ‘ditampal’ pula oleh akhbar tabloid terbitan syarikat yang sama. Edaran Kosmo! naik sebanyak 12 peratus kepada sekitar 129 ribu naskhah, manakala Harian Metro naik 4 peratus kepada sekitar 338 ribu naskhah.

Kurangnya mainan propaganda yang mengongkong minda tidak pula bermakna rakyat digalakkan membeli akhbar yang penuh dengan sampah sensasi. Ternyata ada kekosongan luas di mana pembaca mahukan sesuatu yang lebih bermakna sebagai ‘panduan’ dan sumber berita mereka yang lebih seimbang.

Oleh itu, akhbar milik Pakatan Rakyat harus segera mengambil peranan lebih besar. Tak cukup seperti lembaran surat khabar lama, dengan paras wajah (lay-out, grafik dan foto) serta gubalan kandungan masih seperti dulu-dulu juga. Ia harus lebih muda, lebih segar.

Dalam kata lain, akhbar-akhbar hubungan Pakatan harus siap untuk benar-benar ‘memimpin’ dan mempertajam pandangan rakyat. Berita harus lebih luas, termasuk kepada bidang yang sebelum ini tidak menjadi keutamaan untuk dilapor atau dijadikan kandungan.

Realiti masalah rakyat di bawah seperti kes jenayah, kebakaran, kemalangan dan banyak lagi perlu mulai menjadi laporan bentuk baru bagi akhbar-akhbar Pakatan yang sebelum ini hanya dilihat sebagai ‘akhbar politik’. Begitu juga segmen sosial lain termasuk seni-budaya, hiburan, sukan, bahkan laporan ekonomi yang lebih berwibawa perlu dijadikan keutamaan selain kekal dengan ulasan, wawancara dan berita politik atas keperluan perjuangan.

Beberapa contoh akhbar luar negara, yang walaupun milik parti politik, misalnya The Guardian di UK menjadi akhbar nasional dan bukan lagi hanya dibaca oleh penyokong Parti Buruh sahaja.

Saya pernah menyebutkan hal ini, lebih-lebih lagi sejurus Anwar Ibrahim bebas 5 tahun lalu di mana segera saya yakin bahawa lanskap politik Malaysia akan segera berubah sejak itu. Saya kira, ramalan tersebut ada benarnya.

Harus diingat, Pakatan kini ’separuh memerintah’ dan bukan sepenuhnya pembangkang seperti dahulu.

Saya faham bahawa perubahan sedemikian hanya bisa dilaksanakan dengan persetujuan pimpinan parti, dan tidak cukup diperingkat editorial sahaja. Kerana itulah, pimpinan wajar menginsafi bahawa perubahan yang perlu ini tidak lain adalah formula untuk memenangi hati rakyat keseluruhannya, dan bukan hanya untuk kekal dengan pasaran kalangan ahli dan penyokong tegar sesama sendiri.

Maka hanya dengan itu, kemenangan lebih besar mampu kita capai apabila media kita sudah benar-benar hidup dalam denyut nadi rakyat.

Kita perlu terus lupakan media perdana yang keterlaluan sepertimana yang ada hari ini. Mahu tak mahu, perniagaan mereka tetap bergantung kepada kuasa beli rakyat. Kalau rakyat tolak untuk membeli, maka nasib akhbar itu kini di tebing liang lahad… menunggu masa untuk dikebumikan. Mungkin kita perlu lancarkan sekali lagi kempen besar-besaran untuk itu.

Empayar yang lebih besar pun bisa tumbang, inikan pula sesebuah syarikat media. Setiap kehancuran itu hendaknya jadi pengajaran kepada anak cucu kita agar jangan keterlaluan terus-terusan angkuh dan sanggup memperbodoh bangsa sendiri.


Read Full 0 comments

Sampai Memikul Bangkai Sentimen Perkauman Dan Keagamaan?

Tuesday, August 18, 2009
Oleh M JUSOFF TAIB
NAIB PRESIDEN RMC


PERMAINAN politik dengan menimbulkan konflik melalui isu yang boleh menyalakan api sentimen, adalah mudah. Kemudian dipergunakan untuk masing-masing pihak berkepentingan politik untuk berlakon dalam kemarakan api sentimen itu.


Bukankah isu penghinaan terhadap agama merupakan petrol yang mudah membakar. Pekikan emosi bahawa agama Islam sedang dihina dan pembelaan harus dilakukan dengan tegas, begitu mudah untuk politik memperalatkan konflik demi memperoleh keuntungan singkat politik.


Yang jelas, rakyat yang sentimental dan hilang kewarasan, dibakar oleh nafsu jihad membabi-buta yang sebenarnya bukanlah kewiraan membela Islam. Rakyat yang sentimental terhadap Islam, akan berada di pucuk api kemarahan. Dan marah itu bukan beroleh pahala dari Allah. Hanya politik yang memperalatkannya memperolehi ‘pahala politik’ mereka.


Bayangkan jika saya berada di pihak Teoh Beng Hock, yang mati pelik jatuh dari pejabat SPRM , ketika trajidi itu amat memilukan, tiba-tiba ada orang mempertikaikan tentang anak yang dikandung tunangnya. Apakah cara begitu bijak dan islami ?


Apa jenis kebenaran dan apa jenis dakwah yang ingin kita nampaikan ketika kita begitu bersemangat mengungkit hal itu ? Sepatutnya muslim bercakap tentang keadilan dan kebenaran wajib ditegakkan dengan pasti untuk Teoh Beng Hock. Dan itu jelas keislamannya. Dan itu sebenar-benarnya kita menyampaikan dakwah Rasulullah saw kepada saudara setanahair kita.


Lalu, ketika seorang muslim menyentuh hal hubungan Teoh Beng Hock dengan tunangnya dan bayi yang bakal dilahirkan, menghubungkannya dengan perbuatan maksiat, yang salah tempat dan suasana, sudah tentu pihak yang sedih, sayu dan sendu atas trajidi itu akan merasa amat tertusuk.


Dalam keadaan begitu, sentimen pantulan akan muncul. Maka itu dianggap agitasi. berbalas agitasi. Dan sudah menjadi tabiat politik, ia tidak dinegosiasikan. Apa lagi untuk mencapai solusi. Ini kerana sentimen perkauman atau keagamaan sangat menguntungkan untuk menjana pengaruh politik. Sifat politikkepentingan bagaikan parasit.


Mungkin ada di kalangan umat Islam memberi alasan, kita menegakkan kebenaran. Menegak kebenaran pada keadaan yang salah, pada tempat yang tidak munasabah, sama seperti menghancurkan kebenaran. Malah lebih mengecewakan, ia mungkin menghilangkan peluang untuk kebenaran itu tegak dalam waktu yang sepatutnya. Ia akan menjelmakan trajidi kepada kebenaran itu sendiri.


Demikian juga soal arak di Selangor. Kita melihat promosi konflik di antara ‘nahyu munkar’ dengan kepentingan pasar bebas dalam dunia liberal. Umat Islam tidak hidup di sebalik tembok gheto dari pasar bebas dasar liberal Malaysia. Ada undang-undang menghadkan menjual dan meminum arak. Namun ada nafsu tak terhad untuk menjelmakan para pemabuk !


Dan politik membela pasar bebas lagi liberal juga, bukan berada di ruang bumi yang bebas dari sentimen keagamaan. Mahu tidak mahu dua kepentingan politik dalam satu pakatan, harus melakukan negosiasi yang menghasikan solusi bijak. Supaya tidak berlaku seolah-olah rekaan drama pendek bermula dengan ‘hook’ tegangan untuk diselesaikan dengan sekeping foto berita berpeluk bahu dan senyum politik !


Adakah tokoh-tokoh politik yang terlibat sama-sama bingung sehingga mempromosikan api perkauman dan menunjukkan ‘kewiraan’ demi pengikut masing-masing tanpa perhitungan waras. Di sini letaknya, apabila kita menyalah-guna kebijaksanaa demi politik, kebijaksanaa demi politik keharmonian semakin lupus !


Demikian juga di Pulau Pinang. Ketika seorang tokoh DAP dalam Kerajaan PR menuduh rakan sesama dalam kerajaan negeri itu dari PKR sebagai pelampau agama.Dan melibatkan juga pertubuhan si rakan itu. Apakah itu menayangkan rasional politik pembawa perubahan ?


Maka isu sebegitu juga melibatkan sentimen keagamaan yang mencelarukan. Walhal itu sekadar sensasi yang berlebihan yang menunjukkan seorang watak politik yang hilang kawalan rasionalnya, hingga dihuduhkan oleh lakon emosional.


Rakyat sudah tentu tidak mahukan citra politik pembawa perubahan itu memiliki gelagat mudah melatah dan menayangkan lakon tanpa skrip asal dan menjanjikan ‘kacau-bilau’ pakatan, yang senang bercakar dan sulit membina kata sepakat. Apakah gambaran yang hendak diberikan kepada rakyat adalah citra politik Pakatan Rakyat adalah ‘bersepakat’ untuk ‘tidak bersepakat’ ?


Saya meneliti sebuah akhbar arus perdana. Bagaimana gencar dan hebatnya mempermainkan isu mempromosikan sentimen kemelayuan dan keislaman. Apakah ini memberikan pulangan keuntungan kepada Negara ?


Ataukah mereka sanggup membebankan Negara dengan membekalkan modal melalui konflik perkauman dan keagamaan rakyat untuk secebis harapan menjana kepulihan pengaruh sebuah parti politik yang mereka sedang cuba selamatkan ?


Apabila matalamat politik berada di hujung telunjuk nafsu kepentingan kekuasaan demi selain dari kepentingan Negara dan bangsa, mengapi-apikan sentimen rakyat dinilai amat berharga. Jika isu-isu kecil pun, harus diperbesarkan hingga kalau boleh bagaikan api Namrud membakar Ibrahim demi matalamat politik kepentingan kuasa.


Amatlah pedih jika rakyat Malaysia bagaikan ikan di kolam memancing, hanya dipelihara pada lokasi rekreasi untuk memakan umpan ‘pemain mata pancing’ sekadar memberi kepuasan diri kepada pemain politik menjana kepentingan sendiri.


Politik Malaysia terhalang dari menuju perubahan disebabkan oleh sentimen perkauman dan keagamaan. Umat Islam negara ini harus ingat, sentimen keislaman di luar rasional atau akliah itulah yang menyebabkan Turki hilang ‘khalifah’ dan hilang upaya siasah islamiyahnya.


Dosa Ataturk hanyalah ‘dosa tambahan’ kepada penyakit “Islam sentimental’ rakyat dan ulama kerajaan kesultanan Turki , yang keislaman mereka menentang hukum alam dalam istilah falsafah Yunani “pantarei” –perubahan. Anda bukan mengubah Islam, anda diharapkan berfikir untuk menyedari perubahan tempat dan peredaran Zaman yang dicipta oleh pemilik Islam – Allah !


Sentimen Islam yang buta akal, akan menjadikan umat Islam amat sempurna dalam sejarah. Tapi tidak pernah melakukan sejarah ! Mereka boleh berperang 6000 tahun lagi di wilayah-wilayah mereka seumpama di Afghanistan, tapi di kala mereka memenangi jihad, mereka gagal mengurus Islam di bumi mereka. Tak ada trajidi yang lebih dari ini.


Kita tidak perlu berperang sabil dengan golok dan parang demi cita murni keislaman kita. Namun melengkapkan diri kita dengan nafsu, akal dan rohani yang terbaik untuk semua memperolehi kebaikan Islam dari kita.
Read Full 0 comments
 
Powered By Blogger

Ruang iklan untuk disewa RM10/bln

Powered By Blogger

© Black Newspaper Copyright by RAKYAT MEDIA CLUB | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks